Sahabat Seiman :)

Jumaat, 14 Oktober 2011

BAITUL MUSLIM.... APA ITU BAITUL MUSLIM...


Kami berusrah di Sakinatul Wafa' setiap hari, setiap kali waktu makan, alhamdulillah. "Achik, Baitul Muslim tu apa? Kat Jordan ada tak Baitul Muslim? Kat Mesir ada kan?" 'Aainaa memulakan bicara sambil kami mengambil nasi, menyenduk lauk, dan menuang air.
"Err, soalan apa tu?" sengaja saya menyoal semula. Masing-masing pun mula memberi pandangan mereka, dan mengapa mereka membangkitkan persoalan itu. Saya sekadar memasang telinga, sekali-sekala mengangguk setuju, mengeleng kepada tanda keliru, yang penting perut kenyangkan dahulu sambil bibir mengukir senyuman.
"Nak dengar jawapan achik pulak?" saya cuba mencari ruang untuk kembali menjadi penerang.
"Baitul Muslim ada je kat mana-mana," saya membuat kenyataan sendiri.
Baitul Muslim, saya mendengar kalimah itu sejak di sekolah menengah. Apabila disebut sahaja Baitul Muslim, ramai yang akan tersenyum simpul. Masing-masing membayangkan Baitul Muslim itu sebegini :
  • Mencari jodoh : ini hanya salah satu peranan, bukan tujuan utama.
  • Istikharah : sebenarnya istikharah bukan untuk isu jodoh semata-mata, tujuan sebenar istikharah adalah untuk memohon bimbingan Allah dalam setiap tindakan kita, dari sekecil-kecil hal, hinggalah yang sebesar perkara, dengan harapan, ada rasa kebersamaan Allah dalam setiap keputusan.
  • Ciri-ciri pasangan yang ideal : bercerita soal ciri-ciri tidak akan pernah habis, persiapkan diri ke arah ciri-ciri yang diimpikan.
  • Cara-cara memilih pasangan yang baik :
 "Apabila datang kepadamu seorang laki-laki datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi." (HR Tarmidzi dan Ahmad)
  • Bercinta dengan cara Islam : cinta itu fitrah, tidak membenarkan cinta bererti membunuh kualiti sebenar seorang Muslim, namun ada caranya.
Hakikat sebenar, Baitul Muslim bukan sekadar itu, bahkan lebih dari itu. Baitul Muslim merupakan tangga kedua selepas individu Muslim. Selepas Baitul Muslim, barulah mujtama' Muslim, daulah Islamiyyah, khilafah Islamiyyah, dan akhirnya membentuk istazi'atul 'alam.
Jika Baitul Muslim itu sekadar membincangkan perkara-perkara yang sedemikian, mustahillah untuk membentuk mujtama' Muslim yang diimpikan. Hatta, semakin lambat pula istazi'atul alam itu terbentuk.
Baitul Muslim itu sendiri membawa maksud, rumah orang Islam. Orang Islam yang bagaimana? Orang Islam yang mengamalkan dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan serta menjadikan Islam sebagai pakaian rasmi untuk rohani dan jasmani.
Baitul Muslim jugalah yang akan melahirkan lebih ramai lagi para pendakwah dan mujahid-mujahid Islam. Baitul Muslim adalah peringkat penting dalam usaha untuk kembali melihat Islam tertegak sebagai sistem yang memerintah dunia.
Baitul Muslim adalah satu konsep untuk kita nampak keperluan wujudnya keluarga yang diredhai Allah, keperluan mencari isteri atau suami yang diredhai Allah, keperluan mentarbiyah anak agar membesar dalam keredhaan Allah, seterusnya menjadikan keluarga kita keluarga contoh kepada masyarakat, juga bersama-sama redha Allah. Inilah Baitul Muslim, ke arah mardhatillah.
"Jangan fikir apabila kita sebut tentang Baitul Muslim ni, maknanya sudah menggatal sangat nak kahwin, Baitul Muslim bermula dengan diri sendiri," panjang lebar saya bercerita. Shahira tersenyum simpul.
Itulah signifikan Baitul Muslim berada di tangga kedua selepas membentuk individu Muslim. Sebatikan diri kita dengan kehidupan Islam terlebih dahulu. Disiplin, akhlak mulia, kebersihan, kecekapan, menuntut ilmu, bertanggungjawab, tarbiyyah diri. Islahkan diri, tingkatkan kualiti supaya kelak, mudah memacu keluarga yang mawaddah dan rahmahnya abadi. Suami dan isteri saling melengkapi, menjadi murabbi dalam keluarga.
Baitul Muslim, bermula dengan diri sendiri. Baitul Muslim ialah konsep untuk membina ummah berkualiti. Seriuslah dalam mempersiapkan diri, bersungguhlah dalam menggerakkan peribadi. Bermula dari hari dan saat ini.
"Setuju!" serentak Sofia, 'Aainaa, dan Shahira memberi respon. Alhamdulillah.

NIKAH AWAL LEBIEH BAIK!


Zaman sekarang adalah zaman yang sangat mencabar.
Mencabar! Kerana setiap saat, setiap waktu, setiap hari, setiap detik, anak muda remaja dan belia kita dibom dari segenap penjuru dengan pelbagai bentuk godaan peluru berpandu yang membangkitkan naluri seksual masing-masing.
Biasalah apabila sudah baligh, umur meningkat, tiada godaan sekalipun, keinginan akan timbul juga secara automatiknya. Maka secara logiknya, pasti keinginan seksual itu boleh terangsang berpuluh lipat kali ganda dan berlaku pada tahap yang lebih awal lagi. Masalah pergaulan bebas sangat membimbangkan sehingga berlaku penzinaan.
Apakah jalan terbaik untuk selesaikan masalah ini?
Apakah jalan untuk selamatkan spiritual anak kita?
Apakah jalan terbaik untuk selamatkan masyarakat kita?
Tidak boleh hendak menyalahkan ibu bapa yang tidak boleh awasi mereka 24 jam, dan tidak boleh hendak menyalahkan anak muda semata kerana cabaran yang melampau sana sini.
Oleh yang demikian, beberapa langkah boleh diambil bagi meringankan kekusutan masalah ini.
Yang pertama, kahwin awal itu penting, kerana ia menjaga spiritual anak-anak kita dari dikotori.
Maka, masyarakat harus berusaha mencari jalan untuk membolehkan anak-anak muda ini kahwin awal untuk memastikan jiwa dan spiritual anak itu sentiasa bersih. Dan perkahwinan hanya satu-satunya jalan untuk memenuhi keinginan seksual secara sah dan diredhai Allah.
Dan Islam memang menggalakkan anak-anak muda itu supaya kahwin awal. Kerana Islam itu melihat jiwa anak-anak pasti akan terancam lebih-lebih lagi dengan godaan yang datang"attack" dari pelbagai arah dalam masa yang sama. Di dalam al-Quran, Allah berfirman:
"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka..." (24:32)
Memang benar anak muda diajar untuk berpuasa bagi menahan nafsu, menjaga pandangan dan sebagainya, tetapi sampai bila?
Bukan mudah untuk mengawal keinginan nafsu, dan mereka ini sentiasa berhadapan dengan godaan terus-menerus, setiap detik, setiap ketika, yang boleh mennyebabkan'nerve breakdown', jiwa tertekan, anak muda akan susah hendak memberi tumpuan dalam pembelajaran.
Akhirnya itu yang mencari jalan belakang, jalan senyap-senyap, jalan sembunyi untuk memenuhi keperluan semulajadi ini yang kita usaha untuk cuba elakkan.
Tetapi, hendak kahwin awal bukan senang. Ibu bapa mahu anak-anak habis belajar dahulu, selepas itu, matang pemikirannya, ada kedudukannya, hantaran RM15000-30000 (tepuk dahi), kemudian kewangan untuk anak-anak yang bakal lahir lagi. Maka kahwin awal itu seperti sesuatu yang rumit. Impossible!
Maka, di sini ada disenaraikan beberapa jalan untuk membantu anak-anak muda zaman sekarang kahwin awal:
1. "Kewangan support" dari ibu bapa yang mempunyai kewangan yang baik. Ibu bapa yang berkemampuan memang digalakkan supaya menyokong anak-anak ni supaya kahwin awal dan bantu yang mana perlu. Kalau Islam itu menggalakkan kita untuk menolong orang susah, orang miskin, apatah lagi menolong anak sendiri sehingga mereka boleh berdikari, pasti banyak dan melimpah-ruah lagi ganjarannya.
2. "Komuniti support" . Sekiranya kita mempunyai islamic organisasi yang menyediakan dana untuk menolong anak-anak ini kahwin awal. Mengikut sejarah , satu ketika seorang lelaki ditangkap dan dibawa ke Saidina Ali atas perlakuan yang tidak sopan. Selepas Ali memberikan hukuman yang sepatutnya, beliau mengahwinkan pemuda ini dengan menggunakan kewangan negara. Maka di sini Saidina Ali telah memberi contoh bagaimana masyarakat boleh menolong orang muda untuk berkahwin.
3."Perkahwinan tanpa beban kewangan". Iaitu si teruna dan dara itu bolehlah melaksanakan akad sahaja untuk menghalalkan hubungan. Tetapi mereka boleh tangguh dari membuat majlis perkahwinan yang menelan kos itu, mungkin selepas habis belajar, sudah bekerja, kemudian apabila duit sudah banyak, kita boleh meraikannya. Dan mereka ini dibenarkan saling berjumpa kerana mempunyai hubungan yang halal.
4. Mereka menjalankan akad dan majlis perkahwinan,tetapi tangguh juga dari menimang anak, dan hidup with "simple lifestyle". Maka dengan cara ni juga, mereka dapat memenuhi naluri masing-masing, dan dalam masa yang sama beban kewangan itu dapat dielakkan.
Ya...begitulah beberapa cadangan yang boleh dijadikan panduan tetapi diingatkan di sini, pengawasan ibu bapa, konsultasi dengan ibu bapa sangat-sangatlah penting dan kritikal dalam mengatur perkara ini.
Kami langsung tidak menyokong idea si teruna dan si dara buat keputusan sendiri tanpa"input" dari ibu bapa, dan tanpa mendapat restu hubungan mereka. Ini adalah penting untuk melindungi reputasi pihak perempuan terutamanya jika perkara yang tidak dijangka berlaku. Ibu bapa mainkan peranan yang sangat penting.
Sekiranya kita khusus untuk ibu bapa mengharapkan anak-anak ni supaya kewangan mereka"steady" dahulu selepas itu baru boleh berkahwin, mereka akan mengambil masa yang lama dan berkemungkinan dalam tempoh itu akan berlaku perkara yang tidak diingini.
Maka, apabila kita memahami perspektif dari sudut pandangan Islam yang menggalakkan perkahwinan awal, maka kita boleh lihat bukan perkara mustahil bagi pelajar-pelajar, untuk berkahwin dan dalam masa yang sama meneruskan pelajaran mereka, tinggal bersama di rumah ibu bapa, atau satu bilik yang disewa di universiti. Mereka boleh teruskan kehidupan yang sama mudahnya sepertimana kehidupan mereka sebagai pelajar.
Kahwin awal itu memang digalakkan, tetapi mental dan emosional, ilmu perlu diperlengkapkan supaya masing-masing menyedari tanggungjawab dalam kehidupan berumahtangga. TAQWA, mesti penuh di dada, barulah rumah tangga itu bercahaya.

BACALAH BUKU BERULANG KALI!!!


Membaca kisah para Nabi dan para salafus soleh yang terdahulu merupakan salah satu daripada pembacaan yang cukup bermanfaat, kerana dengannya kita dapat mengambil teladan dalam menjalani kehidupan seharian. Meskipun mereka telah lama meninggalkan kita.
Ketika membaca sebahagian kisah ulama Islam di dalam buku-buku yang saya telaah daripada muka surat ke muka surat, antara perkara yang cukup menarik hati saya dan membuatkan saya takjub adalah apabila membaca tentang ulama yang mempunyai hafalan yang cukup menakjubkan; di mana di antara para ulama Islam ada yang membaca sebuah buku dengan sekali bacaan sahaja mampu menguasai dan menghafal apa yang terkandung di dalam buku berkenaan.
Suka untuk saya mendatangkan satu contoh di sini,  sebagaimana yang dinukil dalam sebuah buku yang bertajuk Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Mereka Yang Ingin Menghafal Al-Qur'an yang diterjemahkan daripada sebuah kitab arab karya Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, bahawa telah berkata Jamaluddin As-Sarmadi: "Di antara keajaiban pada masa ini dalam masalah hafalan adalah Ibnu Taimiyyah. Dahulu, dia menelaah satu kitab sekali sahaja, maka telah terpateri di dalam benaknya."Sememangnya kemampuan yang dimiliki oleh Ibnu Taimiyyah itu adalah satu perkara yang menakjubkan bagi saya.
Sebagai seorang yang minat membaca, saya selalu berharap saya mampu menguasai apa yang terkandung dalam buku dengan hanya sekali bacaan sahaja, sebagaimana sebahagian ulama pada zaman dahulu. Saya percaya, di luar sana tidak sedikit daripada kalangan pencinta buku yang mempunyai keinginan yang sama seperti saya.
Namun, hakikatnya diri saya hanyalah insan biasa, bukanlah genius dan sedemikian hebat; mampu menguasai isi yang hendak disampaikan dalam sebuah buku dengan sekali bacaan semata-mata. Terkadang selepas membaca sebuah buku, saya seakan-akan tidak begitu ingat apa yang telah saya baca, bak kata orang 'masih kabur'. Mungkin anda pun memiliki masalah yang sama.
Namun itu bukanlah penghalang untuk saya untuk terus membaca dan membuat saya putus asa sehingga berhenti membaca.
Adalah menjadi kebiasaan saya sebelum ini, apabila telah selesai membaca buku dengan sekali bacaan, maka saya tidak akan mengulangi untuk membaca buku berkenaan daripada muka surat pertama sehinggalah ke muka surat yang terakhir, kerana saya beranggapan perkara itu adalah perbuatan membuang masa. Itulah sikap saya sebelum ini. Satu "mind set" sebenarnya perlu dinilai semula.
Baru-baru ini saya membaca sebuah buku bertajuk Kelebihan dan Keutamaan Menuntut Ilmu, yang asalnya sebuah kitab arab bertajuk Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie karya Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih, kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Di dalam buku berkenaan dimuatkan 102 metode bagaimana untuk memotivasikan seseorang dalam menuntut ilmu syar'ie yang dicedok daripada kehidupan para ulama Islam.
Antara perkara yang saya dapat jadikan iktibar daripada buku berkenaan, kejayaan tidak akan datang bergolek dan manusia tidak akan memperolehi ilmu dengan bersenang-senangan. Apatah lagi bermalas-malasan.
Sebagai mana kata-kata seorang ulama, ilmu itu tidak akan diperolehi dengan tubuh yang bersenang-senangan dan bermalasan-malasan.
Sekiranya ingin menguasai apa yang terkandung dalam sebuah buku, maka kita tidak boleh bosan untuk membaca sebuah buku berulang kali. Usaha membaca berulang kali perlu dilakukan, barulah apa yang kita baca dapat kita kuasai dan fahami dengan sebaiknya. Inilah yang dilakukan oleh para ulama terdahulu.
Saya percaya, di luar sana ada ramai sudah maklum dan faham perkara ini dan tidak perlu untuk saya beritakan. Namun, bukanlah tujuan utama saya untuk memberitakan yang sedemikian, tetapi yang pertama sekali, saya tujukan penulisan ini buat diri saya sendiri. Semoga saya tidak mudah melupakannya.
Insya-Allah, seterusnya saya akan sebutkan sedikit contoh mengenai sikap para ulama dalam usaha membaca sebuah kitab berulang-ulang kali.
Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih menyatakan dalam bukunya Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie: Imam an-Nawawi ketika menulis biografi Imam Abdul Ghafir bin Muhammad Al-Farisi, telah berkata: "Al-Hafiz al-Hasan as-Samarqandi membaca Sahih Muslim lebih daripada 30 kali. Dan Abu Sa'id Al-Buhairi membaca Sahih Muslim di hadapannya lebih daripada 20 kali."
Disebutkan lagi dalam buku berkenaan, seorang ulama yang bernama Abu Bakar al-Abhari, telah membaca kitab Mukhtasar Ibnu Abi Hakam sebanyak 500 kali, As-Asadiyah sebanyak 75 kali, Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70 kali, Al-Mabsuth sebanyak 70 kali dan Al-Muwaththa karya Imam Malik sebanyak 45 kali.
Dr. 'Aid Abdullah al-Qarni menyatakan dalam kitabnya Miftahun Najah  yang telah diterjemahkan dengan tajuk Kunci Kejayaan Minda, seorang alim daripada Andalusia telah mengkhatamkan bacaan Sahih Bukhari sebanyak 700 kali dan anak murid Imam Asy-Syafi'e, iaitu Al-Muzani telah mengkhatamkan bacaan kitab Ar-Risalah karya gurunya itu sebanyak 500 kali!
Sekian sahaja penulisan yang serba ringkas ini, semoga ia akan memberikan manfaat terutamanya kepada diri saya sendiri, seterusnya kepada anda yang membaca penulisan ringkas ini.
Akhir sekali saya tinggalkan anda dengan kata-kata seorang bloggers wanita daripada jomsewabuku.blogspot.com dengan katanya: "Saya ingin anda membaca dan terus mengulangi dan mengulanginya sehinngalah buku itu lusuh!"
Wallahu'alam.
Rujukan:
•       Dr. 'Aid Abdullah Al-Qarni, Miftahun Najah (Edisi Terjemahan: Kunci Kejayaan Minda, Penterjemah: Abdul Arham Mat), Telaga Biru Sdn. Bhd, Cetakan pertama, 2008.
•       Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih, Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie (Edisi Terjemahan: Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu, Penterjemah: Nurul Mukhlisin), Crescent Sdn. Bhd, 2010.
•       Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Yang Ingin Menghafal Al-Qur'an (Penterjemah: Ummu Abbas), Pustaka Al-Haura', Cetakan kedua, 1430 Hijriah.
•       Jomsewabuku.blogspot.com.